
Apakah Itu Penyakit Kemurungan?
Penyakit kemurungan merupakan penyakit perubatan yang melibatkan perasaan sedih atau murung. Namun berbeza daripada perasaan sedih yang mungkin dirasakan apabila kita kehilangan telefon bimbit contohnya, bagi mereka yang mengalami masalah ini, perasaan sedih atau murung ini berpanjangan. Pada masa yang sama, mereka juga seringkali mempunyai perasaan terlalu rendah diri dan sering merasakan diri mereka bersalah dan berdosa dalam setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan mereka. Perasaan murung ini hadir dalam diri mereka pada setiap waktu sepanjang hari dan boleh berlarutan sehingga berminggu-minggu. Ini berbeza dengan perasaan sedih biasa yang kita alami apabila sesuatu musibah berlaku yang akan hilang dalam masa yang singkat setelah musibah itu berlalu.
Simptom-Simptom Penyakit Kemurungan
- Perasaan murung atau sering marah-marah hampir sepanjang hari dan hampir setiap hari dalam tempoh 2 minggu. Perasaan ini dilaporkan oleh pesakit secara subjektif seperti perasaan rendah diri atau pun daripada pengamatan orang luar. Contohnya, selalu menangis.
- Tidak bersemangat atau berminat melakukan aktiviti sosial yang biasa dilakukan hampir setiap hari. Contohnya tidak berminat untuk bersukan lagi atau berjumpa dengan sanak saudara.
- Berat badan merosot (~5%) daripada asal dalam waktu yang singkat atau kurang selera makan.
- Corak tidur berubah, samada kurang tidur (insomnia) atau terlebih tidur (hypersomnia).
- Perubahan dalam melakukan aktiviti seharian, samada terlebih aktif atau kurang aktif.
- Selalu letih dan kurang bertenaga dalam melakukan aktiviti harian.
- Perasaan bersalah yang tidak setimpal dengan sesuatu kesalahan perbuatan atau merasakan diri tidak berguna.
- Tidak mampu memberikan konsentrasi atau berfikir secara rasional. Pesakit juga merasakan susah untuk membuat keputusan dalam kehidupan hariannya.
- Berfikir tentang keinginan untuk mati atau bunuh diri dengan kerap, atau mempunyai pelan di masa hadapan untuk membunuh diri.
Apakah Punca Penyakit Kemurungan?
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada seseorang itu untuk mengalami penyakit kemurungan. Salah satunya ialah genetik atau keturunan. Individu yang mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidapi penyakit kemurungan, mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidapi penyakit ini apabila dibandingkan dengan mereka yang tidak. Selain itu, individu dengan personaliti yang selalu gelisah atau tidak ceria adalah lebih cenderung untuk mendapat penyakit ini.
Mereka yang pernah mengalami peristiwa hidup yang memberi impak pada zaman kanak-kanak juga mempunyai risiko yang lebih tinggi. Contohnya trauma psikologi di zaman kanak-kanak atau trauma fizikal ke atas otak kerana kecederaan atau penyalahgunaan dadah. Kemalangan yang berlaku pada zaman kanak- kanak memberi kesan yang lebih besar dan membawa kepada risiko yang lebih tinggi untuk penyakit kemurungan bagi seseorang individu dalam kehidupan dewasanya. Bagi mereka yang menggunakan dadah, risiko untuk menghidapi penyakit kemurungan juga turut meningkat berbanding dengan mereka yang tidak mengambil dadah. Penggunaan dadah di sini termasuklah menghisap rokok.
Sesetengah sejarah hidup yang negatif atau yang menyebabkan tekanan jiwa boleh menjadikan seseorang individu itu lebih terdedah untuk menghidapi penyakit kemurungan. Oleh itu, mereka ini haruslah lebih berwaspada dan mendapatkan pertolongan secepat mungkin.
Antara faktor lain yang menyebabkan penyakit kemurungan ialah ketidakseimbangan bahan kimia atau hormon di dalam otak. Hormon utama yang sering dikaitkan ialah serotonin. Antara hormon lain yang turut terlibat ialah norepinephrine dan dopamine. Bahan-bahan ini diperlukan untuk otak kita berfungsi secara normal dalam mengawal perasaan kita. Oleh itu, kegagalan dalam penghasilan atau peningkatan dalam pemusnahan bahan-bahan ini akan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan bahan kimia ini dan seterusnya menjurus seseorang itu menghidap penyakit kemurungan

Rawatan
Penyakit kemurungan perlu dikenalpasti dan diberikan diagnosis sebelum rawatan dapat diberikan. Individu yang mempunyai penyakit ini, bergantung kepada tahap keterukannya, boleh memilih di antara “talking therapy” (psikoterapi) atau penggunaan ubat. Selalunya untuk kes sederhana atau berat, kombinasi terapi boleh digunakan untuk merawat pesakit dan kajian telah menunjukkan keputusan yang memberangsangkan apabila kombinasi rawatan digunakan.
Rawatan menggunakan ubat-ubatan adalah efektif dan selamat. Walaupun setiap ubat mempunyai kesan sampingan, sekiranya tidak memberikan rawatan untuk penyakit kemurungan adalah lebih bahaya daripada kesan sampingan tersebut. Juga perlu dijelaskan bahawa kesan sampingan ubat-ubat ini selalunya kecil dan jutaan pesakit di seluruh dunia yang menerima rawatan ini dapat menerima kesan sampingannya.
Dapatkan Bantuan
Bagi mereka yang berasa diri mereka memerlukan pertolongan dalam hal ini dan mahu berbicara dengan seseorang yang memahami, doktor di klinik yang selalu anda kunjungi merupakan orang pertama yang patut anda bawa berbincang. Semua doktor mempunyai kepakaran yang cukup untuk mengesan dan merawat penyakit kemurungan yang ringan atau sederhana dalam komuniti. Jika mereka merasakan anda memerlukan khidmat pakar, mereka boleh merujuk anda ke hospital untuk bertemu dengan pakar psikiatri.
Berikut adalah beberapa rujukan yang boleh digunakan untuk mendapatkan bantuan mengatasi penyakit kemurungan :-
Comments
Post a Comment